Kritikan terhadap umat Islam yang perlu diambil serius

Oleh: Farouk A. Peru

Ada kritikan yang akan melondehkan kelemahan kita. Inilah kritikan yang harus kita dengan dengan telilti.

Dunia Islam kini tidak menunjukkan tanda pemikirannya maju ke depan, sebaliknya lebih menunjukkan ciri kemunduran, lebih buruk daripada beberapa dekad lampau.

Lihat sahaja di Terengganu. Penunggang motosikal yang berlainan jantina dan tidak mempunyai hubungan keluarga atau perkahwinan, boleh ditahan dalam Ops Bonceng.

Menurut Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), ini kerana mereka melanggar ajaran Islam. Bukan itu sahaja, exco Ghazali Taib menyifatkan menaiki motosikal dengan cara begini mengaibkan dan memalukan.

Logik yang digunakan dalam pemikiran mereka amatlah daif. Adakah setiap pasangan lelaki dan wanita yang duduk berdekatan naik berahi dan melakukan aksi sumbang?

Bagaimana pula dengan seorang lelaki dan seorang wanita yang terpaksa bekerja di bawah bumbung sama dalam sebuah pejabat kecil? Adakah mereka terpaksa bertukar kerja?

Berdasarkan pemikiran ini, pemandu teksi lelaki pula mungkin perlu mengupah orang ketiga untuk duduk bersama mereka semasa mengambil penumpang wanita!

Bagaimana pula dengan pasangan berkahwin? Perlu diingat, status “berkahwin” dan “belum berkahwin” tidak tertera di atas dahi. Bagaimana pegawai skodeng ini tahu yang pasangan itu sudah berkahwin atau tidak?

Status mereka hanya dapat diketahui jika sesuatu pasangan itu ditahan dan diperiksa. Jadi bagaimana pula Ghazali boleh mengatakan yang pasangan yang tidak berkahwin nampak aib bila menunggang motosikal?

Inilah yang dinamakan logik yang gagal. Pemikiran begini membawa tamadun Islam kepada tahap yang rendah.

Persoalannya, mengapa umat Islam tidak dapat meningkatkan taraf pemikiran mereka? Bagaimana dengan masalah sebenar seperti kemiskinan, pendidikan rendah, masalah sosial and alam persekitaran? Gejala ini mempunyai potensi menghancurkan masyarakat tetapi golongan ulama hanya dapat mencadangkan sembahyang hajat.

Di sini masalahnya. Umat Islam masih tidak dapat mengkritik agamawan mereka tanpa mendapat respon yang sangat negatif daripada golongan konservatif di kalangan mereka. Kritikan dilihat sebagai serangan ke atas ulama, malah ke atas agama Islam sendiri.

Satu contoh yang saya perasan baru-baru ini ialah laporan memetik seorang pemimpin PAS yang berkata kritikan terhadap sekolah agama adalah rasis. Menurutnya, kerajaan memang bertanggungjawab untuk mendanakan sekolah agama dan sekolah aliran ini perlu diperkasakan lagi. Dia juga mengatakan sekolah agama menjadi pusat perpaduan negara dan pembinaan akhlak.

Adakah dakwaan ini benar? Untuk menjawabnya, kita perlu bertanya jika sekolah agama mempunyai masalah sosial. Wujudkah kes di mana pelajar sekolah memukul atau mendera pelajar lain? Bagaimana pula dengan kes rogol atau kelakuan sumbang? Jika ada, maka dakwaan ketinggian moral ini tidak benar.

Bagaimana pula dakwaan yang sekolah agama itu menggalakkan perpaduan negara? Adakah mereka mempelajari tentang agama lain? Jika ada, kenapa mereka tidak pernah menyuarakan pendapat untuk mempertahankan agama lain apabila diserang?

Mengapa, apabila penganut Kristian dilarang menggunakan kalimah bahasa Arab, orang yang melalui aliran sekolah agama tidak memberitahu kerajaan yang kalimah ini memang wujud sebelum kedatangan Nabi Muhammad sendiri?

Ini menunjukkan mereka tidak benar-benar berminat untuk menyatupadukan negara tetapi hanya melebihkan kepentingan kelompok mereka sahaja.

Bilakah sesuatu kritikan itu menjadi rasis atau Islamofobia dan bukan kritikan membina? Inilah soalan yang perlu kita fikirkan.

Benar, ada rasis yang benar-benar membenci Islam dan tiada apa yang kita lakukan yang akan mengubah fikirkan. Tetapi yang sebaliknya juga benar – ada kritikan yang akan melondehkan kelemahan kita. Inilah kritikan yang harus kita dengan dengan telilti.

Kritikan ini boleh dikenali dengan sifat mereka yang tahu pelbagai bentuk Islam. Ada Islam yang fundamentalis, sederhana, konservatif, liberal dan sebagainya.

Realiti yang kita hadapi dalam dunia semasa adalah rumit. Ia tidak semudah menyatakan “aku betul, kamu salah”, tetapi ada lapisan kebenaran dan kebatilan yang harus kita fikirkan.

Jadi usahlah kita alah kepada kritikan.

Source: FMT (25hb Januari 2017)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s